Tampilkan postingan dengan label ngo. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label ngo. Tampilkan semua postingan

Rabu, 12 Februari 2014


KUALA KUMPUR – Kerajaan perlu mencari mekanisme baru bagi menggantikan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini untuk memastikan hanya golongan sasar tulen mendapat manfaat, saran beberapa badan bukan kerajaan dan pakar ekonomi.

Mereka berpendapat sudah tiba masanya kerajaan melakukan pengurangan subsidi terhadap barangan kawalan secara berperingkat-peringkat agar tidak menimbulkan kesan drastik yang menjejaskan seluruh rakyat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha’ani Abdullah berkata terdapat ketirisan dalam pemberian subsidi kerana barangan kawalan seperti gula, tepung dan bahan api turut dinikmati oleh warga asing.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 3 Sept lepas, yang dianggar dapat mengurangkan subsidi kerajaan sebanyak RM1.1 bilion setahun.

Untuk tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM30 bilion sebagai subsidi kepada rakyat dengan RM24 bilion subsidi bahan api.

Mengulas lanjut, Muhammad Sha’ani berkata sebaiknya kerajaan menggubal satu mekanisme yang benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar seperti subsidi perkhidmatan pengangkutan awam, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Pendapat serupa diutarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman yang menyarankan kerajaan mengekang ketirisan subsidi.

“Mekanisme baharu itu perlu memandangkan beberapa sektor kritikal antaranya pengangkutan awam, kesihatan dan pendidikan yang rata-rata sukar dinikmati rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata pemberian subsidi menerusi mekanisme baharu itu juga harus mengambil kira pandangan bahawa subsidi bukan satu inisiatif yang dapat membantu meringankan beban rakyat secara berterusan.

“Pengurangan subsidi berkemungkinan akan berlaku dari semasa ke semasa, namun kerajaan perlu bijak mengimbangi kesan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata kerajaan perlu meningkatkan mutu pentadbiran serta pelaksanaan bagi memastikan mekanisme baharu dapat mencapai tahap yang disasarkan.

Beliau yang tidak menyangkal pengurangan subsidi akan membangkitkan kemarahan rakyat, berkata perkara itu dapat diatasi jika kerajaan bijak mencari inisiatif yang dapat memupuk semangat berdikari rakyat.

“Kita tidak mahu rakyat asing mengambil peluang menyalah guna pemberian subsidi ini,” katanya yang juga Pengarah Bersekutu Akademik dan Program Global Pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak. – BERNAMA

Rabu, 01 Januari 2014

OLEH MOHD FARHAN DARWIS October 13, 2013
Gambar fail menunjukkan umat Islam membaca al-Quran sementara menanti keputusan mahkamah berhubung kes kalimah Allah di Istana Kehakiman Putrajaya bulan lalu. Gambar fail menunjukkan umat Islam membaca al-Quran sementara menanti keputusan mahkamah berhubung kes kalimah Allah di Istana Kehakiman Putrajaya bulan lalu. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah esok berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Muslim dan tidak akan menggunakan kekerasan sekiranya mahkamah membenarkan penerbitan Katolik The Herald menggunakan kalimah Arab itu sebagai rujukan kepada Tuhan mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap akan hadir di Istana Kehakiman di Putrajaya pada 14 Oktober bagi menyuarakan solidariti memperjuangkan penggunaan perkataan eksklusif untuk agama Islam, yang merupakan agama rasmi bagi negara ini.
"Kita akan berada di sana dari pagi. Dari Perkasa kita jangka 1,000 orang akan turut serta sehingga selesai keputusan dibuat," kata Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

 Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali, berkata mereka akan turut sama bersolidariti di mahkamah pada hari itu, namun menolak untuk menggunakan kekerasan sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Gereja Roman Katolik.
"Kita akan gunakan kaedah lain sekiranya mahkamah tidak memihak kepada kita," katanya.
Beliau berkata, kekerasan bukan fokus utama sekiranya mereka tewas dalam kes berkenaan.

"Saya memberi jaminan Jati tidak akan terlibat dengan insiden keganasan," katanya.
Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) turut bersama rakan NGO yang lain untuk menolak kekerasan sekiranya gagal di mahkamah.
"Kami tidak bertolak ansur dengan keganasan," kata Pengerusi Pembela, Dr Yusri Mohamad kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, keputusan di peringkat rayuan akan dilakukan sekiranya gagal di mahkamah.

"Kita minta pelindungan keganasan seperti itu daripada berlaku. Kita harap perkara itu tidak berlaku. Kita menasihati supaya tiada yang bertindak di luar undang-undang.
"Kita tentang sebarang tindakan melampau batasan undang-undang. Perjuangan kita berlandaskan ruang undang-undang selari dengan agama Islam," katanya.

Semalam PAS sekali lagi menegaskan penganut agama bukan Islam tidak harus disekat daripada menggunakan kalimah Allah dalam mengamalkan kepercayaan mereka namun penggunaan tersebut tidak harus disalahguna atau disalah tafsir.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan kaum lain menggunakan kalimah Allah namun kebebasan yang diberikan tidak harus disalahgunakan kerana Allah adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah bagi umat Islam.
“Kita tidak boleh melarang penganut bukan Islam untuk melaksanakan suruhan agama mereka kerana manusia seharusnya mempunyai kepercayaan terhadap tuhan.
“Kalimah Allah dalam perkataan Arab tidak boleh diterjemah ke dalam bahasa lain kerana tidak sama dengan perkataan ‘tuhan’. Oleh kerana itulah kalimah Allah itu sangat suci,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Selangor hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat baru-baru ini menggesa umat Islam bersatu-padu mempertahankan penggunaan kalimah Allah daripada disalahgunakan sempena keputusan kes tersebut yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Isnin ini.
Jakim berkata, sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran agama adalah perlu untuk bersatu-padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak sebagai umat Islam.

Katanya, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – 13 Oktober, 2013. The Malaysian Insider
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!