Mereka yang cintakan keadilan dan kemanusiaan perlu menyokong perjuangan membebaskan Palestin, kata penulis Israel Miko Peled di Kuala Lumpur semalam.

Peled kelahiran Jerusalem, yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin berkata, demokrasi di Palestin boleh wujud jika setiap orang menyatakan pendirian moral terhadap isu itu.

Pengarang buku "The Generals Son, The Journey of an Israeli in Palestine" (Anak Jeneral, Perjalanan seorang Israel di Palestin) menyatakan bagaimana pendekatan rakyat bersatu boleh mengubah senario dunia, sambil menyebut sebagai contoh keruntuhan dasar aparteid di Afrika Selatan.

"Jika lebih banyak negara turut serta dan bergabung di sebalik perjuangan ini, ia boleh berlaku.

"Aparteid di Afrika Selatan telah berakhir, tetapi negara itu kekal wujud dan rakyat bebas dan kini mengamalkan demokrasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Beyond Zionism - Hope For Peace in Palestine" (Di Luar Zionisme - Harapan untuk Keamanan di Palestin" anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM).

Peled berkata adalah amat penting bagi masyarakat memahami bahawa jika mereka menyokong Israel, secara tidak langsung mereka menyokong penghapusan penduduk di Palestin.

"Sokongan untuk Israel adalah sokongan kepada sebuah negara yang membunuh penduduk awam Palestin. Jika anda ingin meneruskan sokongan, itu pilihan anda.

"Tetapi jika anda fikir itu salah, sokong Palestin dan idea demokrasi," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi VPM Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata aktiviti ceramah mengenai Palestin adalah salah satu daripada aktiviti badan bukan kerajaan itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia mengenai krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin.

"Saya berharap melalui aktiviti seperti ini rakyat Malaysia akan lebih terbuka dan mengetahui hakikat sebenar apa yang berlaku di negara bergolak itu," katanya.

- Bernama