Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) komited untuk membina rumah pasang siap dalam tempoh 60 hari dengan kepakaran teknologi dari Jepun berbanding kaedah konvensional yang memakan masa selama dua tahun.
Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata dengan teknologi baru, rumah pasang siap akan mampu dibina dengan 90% di kilang dan 10% lagi di tapak pembinaan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gambar komited untuk mengotakan janjinya pada pilihanraya umum lalu untuk membina satu juta buah rumah dalam tempoh lima tahun.
"Dengan teknologi baru ini akan mempercepat proses pembinaan selain kilang yang mampu merancakkan lagi peluang pekerjaan apabila banyak vendor yang akan dilantik bagi membekal barang binaan.
"Kilang yang akan dibina itu nanti akan menggunakan teknologi robotik dan komputer serta mampu mengatasi masalah pembinaan rumah konvensional," katanya ketika majlis memeterai persefahaman di antara PR1MA dan Sekisui Chemical di Putrajaya hari ini.
Jamaluddin menjelaskan teknik pembinaan konvensional masih digunakan sementara PR1MA masih dalam proses membawa teknologi itu dari Jepun.
Katanya, kilang yang akan mula dibina pada tahun hadapan itu akan memulakan pembinaan rumah konsep baru dalam tempoh 14 bulan dari sekarang.
"Kami menjangkakan rumah yang akan dibina itu nanti mampu mengekalkan harganya seperti teknik pembinaan konvensional namun harga akhir akan dapat ditentukan sebaik jumlah unit sebenar mampu dibina diketahui kelak.
"PR1MA akan membina rumah contoh terlebih dahulu di mana barang pembinaannya diimport dari Jepun dan rakyat boleh mellihat sendiri keupayaan projek tersebut.
"Buat masa ini, rumah teres sahaja yang akan dibina melalui kaedah pasang siap dan bagi rumah pangsa ia masih dalam penelitian," katanya.
Beliau menambah kilang yang akan dibina itu nanti tidak akan jauh dari kawasan pembinaan di Lembah Klang dan setelah siapnya rumah itu nanti, PR1MA mampu memberi jaminan 30 tahun kepada rumah tersebut.
Katanya, inisiatif kerajaan di bawah PR1MA untuk membina 500,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun telah menarik keyakinan syarikat Jepun untuk bekerjasama dalam projek ini.
"Di Jepun, konsep rumah pasang siap mereka mampu memberi jaminan selama 60 tahun. Saya fikir jika PR1MA mampu memberikan jaminan selama 30 tahun, pemilik rumah mampu melunaskan pinjaman perumahan mereka.
"Dengan kaedah ini, ramai pekerja tempatan yang akan dilatih di Jepun bagi mengendalikan komputer dan mesin robotik. Masalah seperti kekurangan tenaga buruh, ketidaktentuan cuaca dan kenaikan harga barang dapat diatasi apabila kerja pembinaan dilakukan di kilang.
"Pekerja binaan yang kini rata-rata terdiri daripada buruh asing akan berubah landskapnya apabila pekerja tempatan yang mengambil alih sektor itu dengan gaji yang bersesuian di kilang moden," katanya.
Kriteria untuk memiliki rumah di bawah PR1MA, pemohon mestilah berumur 21 tahun ke atas, pendapatan isi rumah di antara RM2,500 dan RM7,500 serta tidak memiliki lebih daripada satu hartanah di Malaysia.
Pemohon yang berjaya pula perlu mematuhi syarat berikut selama 10 tahun seperti tidak menjual atau menukar hak milik, perlu menduduki rumah tersebut dan tidak dibenar disewa. - 17 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
0 komentar:
Posting Komentar